Search This Blog

Wednesday 17 July 2013

Kesedaran Pengguna

Maaf dipinta kerana sudah lama tidak update blog. Sibuk dengan beberapa urusan keluarga di bulan Ramadhan ini. Tidak terlambat lagi rasanya untuk mengucapkan "Selamat Berpuasa" kepada semua kaum muslimin dan muslimat. Semoga kita mendapat keberkatan dan keampunan Allah dalam bulan mulia ini.


Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya berhadapan dengan pesakit/pengguna sepanjang tempoh amalan saya. Antara perkara yang saya perhatikan adalah kebanyakan ahli masyarakat kita begitu teruja untuk mencuba apa jua produk baru sunnah, tradisional dan kosmetik yang keluar di pasaran.

Ada yang ingin mencuba produk baru kerana sudah mencuba berubat dengan bermacam-macam kaedah rawatan dan ingin mencuba nasib menyembuhkan penyakit yang telah dihidapi. Namun ada juga yang suka mencuba-cuba.

Sikap ini tidaklah salah tetapi perlulah ada ilmu. Bagi yang mencuba untuk menyembuhkan penyakit, perlulah memastikan ubat atau produk yang telah dimakan perlulah dimakan dengan betul mengikut arahannya. Ada sesetengah yang makan ubat atau produk separuh jalan dan terus bertukar pada produk lain apabila tidak mendapat kesan yang diinginkan dalam jangka masa yang pendek.

Ada juga yang makan produk tetapi tidak berpantang. Contohnya makan produk untuk mengawal kencing manis. Tetapi tidak menjaga makanan kerana beranggapan produk yang dimakan tadi mampu mengawal penyakitnya.

Tetapi dengan kebanjiran produk baru sunnah, tradisional dan kosmetik di pasaran, perlulah diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli dan menggunakannya. Pastikan produk tersebut telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerana jika ia telah mendapat kelulusan KKM, ini bermakna proses penyediaannya, pembungkusannya dan premis penyediaannya telah diperiksa oleh pegawai KKM serta mematuhi standard.

Saya bukanlah mengagungkan ubatan alopati atau moden dan mengatakan perubatan sunnah atau tradisonal tidak bagus. Tidak sama sekali.

Sudah tentulah perubatan sunnah itu baik kepada ia adalah cara hidup Rasulullah saw dan begitu juga perubatan tradisional telah lama diamalkan oleh nenek moyang kita. Tetapi adakah produk-produk yang dijual juga tulen; tidak dicampur dengan bahan lain yang bukan sahaja tidak bersih tetapi memudaratkan pengguna?

Pengalaman saya dalam satu operasi serbuan di sebuah premis. Saya mendapati yang penyediaan produk di  lakukan di lantai tandas. Adakah air yang digunakan adalah air paip dari tandas tersebut? Adakah peralatan yang digunakan ada diletakkan di lantai tandas? Berbagai kemungkinan yang saya tidak mahu fikirkan jawapannya.

Yang paling baik, tentulah untuk kita menjaga kesihatan kita dari mula lagi. Makanlah makanan halal, baik dan berkhasiat. Bersenam, minum cukup air, menjaga tekanan dan tidak merokok. Dengan itu, kita tidak akan perlu kepada ubat-ubatan baik moden mahupun tradisional. Tetapi jika perlu kepada rawatan dan enggan makan ubat moden, carilah produk yang berdaftar dengan KKM.

Sebagai pengguna, kita perlulah bijak membeli. Kerana asas dalam perdagangan, tidak akan ada bekalan tanpa ada permintaan. Namun, penjual juga haruslah bertanggungjawab dengan menjual produk yang berkualiti dan berdaftar dengan KKM. Bukan hanya tangkap muat asalkan memberi untung yang banyak.

Bukankah itu yang lebih baik.