Search This Blog

Thursday 27 June 2013

Interaksi Ubat

Umum sering menganggap memakan produk herba atau tradisional adalah selamat kerana tiada kandungan kimia. Tidak seperti ubat moden kerana ia adalah bahan semulajadi.
Tetapi tahukah anda, semua makanan, minuman, buah-buahan, sayur-sayuran, ulam-ulaman, herba, garam galian mengandungi bahan kimia yang boleh berinteraksi di antara satu sama lain. Bahan kimia tersebut adalah dalam bentuk vitamin, asid amino, mineral, enzim, glikoprotein dan bermacam lagi.
Kebanyakan ubat juga pada asalnya adalah ekstrak tumbuh-tumbuhan namun kemudiannya berjaya disintesis di makmal. Contohnya adalah seperti antibiotik penisilin yang berasal dari kulat Penicillium.
Sebenarnya banyak kesan sampingan ubat tradisional yang telah dilaporkan. Kesan sampingan ini boleh berpunca daripada dos berlebihan yang diambil untuk jangka masa panjang atau pencemaran kerana proses pembersihan dan penyediaan yang tidak sempurna. Berikut adalah contoh kesan sampingan:

NAMA
  KESAN SAMPINGAN
  Gamat (oral)
  Kegagalan ginjal
  Tongkat Ali
  Hepatitis
  Spirulina
  Steven-Johnson Syndrome
  Manjakani
  Jaundis
  Ginseng
  Gastritis, Dermatitis
  Ganoderma
  Hepatitis
  Misai Kucing
  Jaundis
  Pati Ikan Haruan
  Jaundis
Berikut adalah contoh peringatan kepada pengguna ubat tradisional yang menggunakan produk mengandungi bahan seperti di bawah:
Kapur barus/camphor
- Boleh menyebabkan sawan
- Kontraindikasi pada kanak-kanak  bawah 2 tahun dan berhati-hati menggunakannya pada kanak-kanak
- Elakkan menyapu pada lubang hidung terutamanya pada kanak-kanak kerana pada jumlah yang sikit pun boleh menyebabkan pengsan.
- Elakkan dari terkena mata
- Jangan sapu pada luka terbuka
Seperti juga ubat moden, ubat tradisonal haruslah digunakan dengan berhemah. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda untuk dibuat penilaian tentang kesesuaian gabungan ubat moden dan tradisional anda. Juga pastikan ubat tradisonal yang digunakan adalah produk berdaftar.

Perubatan Tradisional dan Komplimentari




Apa itu perubatan tradisional dan komplimentari?

Perubatan tradisional dan komplimentari (PT&K) adalah cara rawatan alternatif yang melengkapkan perubatan moden. Antara yang termasuk di dalam kategori ini adalah:

 1. Perubatan tradisional Melayu

     - Perubatan herba

     - Urut

     - Bekam

2. Perubatan tradisional Cina

    - Akupuntur dan Moxa

    - Perubatan Herba

    - Tuina

    - Qigong

3. Perubatan tradisional India

    - Ayurveda

    - Siddha

    - Unani

    - Yoga

4. Perubatan Islam

5. Homeopati

6. Amalan berasaskan manipulatif

    - Kiropraktik

    - Osteopati

    - Urut Terapeutik

    - Terapi Spa

    - Refleksologi

    - Urut Thai

    - Urut Bali/Jawa

    - Urut Swedish

    - Urut Shiatsu

    - Aromaterapi


7. Perubatan tenaga

    - Terapi Getaran Warna

    - Perawatan Kristal

    - Reiki

    - Aurametafizik

    - Roaha

    - Bach Flower

    - Fitibiofizik

8. Terapi Minda, Jasad dan Rohani

    - Hipnoterapi

    - Psikoterapi

9. Amalan berasaskan biologi

   - Terapi Nutrisi

   - Naturopati

 
Amalan perubatan yang tersebut di atas diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). melalui Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK). BPTK berperanan untuk memastikan mutu amalan PT&K menepati standard yang ditetapkan dengan memastikan:

1. semua pengamal PT&K (mengikut kepada keperluan Akta) adalah berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mematuhi setiap undang-undang dan peraturan-peraturan di Malaysia.

2. pemeriksaan dijalankan ke atas premis yang menyediakan rawatan/perkhidmatan PT&K dan perundangan

3. menyelaraskan amalan PT&K dengan membangunkan garispanduan amalan PT&K

4. menjalankan penyelidikan untuk meningkatkan pembuktian saintifik amalan PT&K.

5. memastikan pengamal-pengamal PT&K mencapai kelayakan yang dikehendaki dan memastikan kualiti perkhidmatan yang diberi oleh pengamal tercapai.

6. menggalakkan pelancongan kesihatan

Amalan-amalan yang tersebut di atas juga boleh dipelajari secara formal (peringkat sijil, diploma dan ijazah) di institusi pengajian tinggi swasta di dalam dan luar negara.

Wednesday 26 June 2013

Cara Penyimpanan Ubat - item peti sejuk


Ubat Yang Perlu Disimpan Di Dalam Peti Sejuk

- Ubat-ubat yang memerlukan penyimpanan pada suhu 2oC- 8oC disimpan di dalam peti sejuk bukan di dalam penyejuk beku (freezer).

- Contoh ubat-ubat tersebut adalah seperti insulin, ubat mata (e.g. Latanoprost), produk biologikal (Inj. Interferon), suppositori (xyloproct), titis mata (CMC) dan sirap.

Tips Penyimpanan Ubat di dalam Peti Sejuk

- Jangan letak di ruangan sejuk beku.

- Jangan letak di ruangan atas (udara panas).

- Jangan letak di ruangan bawah (udara sejuk).

- Jangan letak ubat di ruang pintu peti sejuk.

- Simpan ubat di kompartmen tengah peti sejuk.
  • Simpan ubat di dalam bekas yang sesuai (child resistant) sebelum simpan di dalam peti sejuk.



Tempoh Penyimpanan Ubat Di Dalam Peti Sejuk
Ubat yang belum dibuka boleh disimpan sehingga tarikh luput melainkan telah berubah warna, bentuk dan rasa.

Jenis Ubat

Tempoh Penyimpanan

Ubat Mata/Telinga

1 bulan dari tarikh botol dibuka

Insulin

1 bulan dari tarikh botol dibuka

Ubat Cecair

Mengikut tarikh luput melainkan telah berubah warna, bentuk dan rasa

Antibiotik Serbuk

1 minggu selepas dibancuh

Tuesday 25 June 2013

Jerebu oh Jerebu

Petang semalam, saya tengok keadaan cuaca di Ipoh sudah semakin teruk. Jerebu sudah sampai Ipoh rupanya. Anak sudah mula batuk.
 
Ambillah langkah berjaga-jaga supaya kita tidak jatuh sakit semasa cuaca teruk ini. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh kita lakukan:
 
1. Kurangkan aktiviti luar.
 
2. Jika perlu keluar pakailah "mask". Gantikan dengan yang baru jika sudah basah.
 
3. Minum air banyak.
 
4. Pakai penitis mata untuk melembapkan mata dan mencuci habuk. (Kalau boleh pakai goggle semasa keluar rumah, tentu lebih baik)
 
5. Titiskan normal saline ke dalam hidung atau guna nasal spray yang mengandungi normal saline atau air laut (contoh: Sterimar Nasal Spray).
 
6. Elakkan menaiki motosikal atau basikal, jika ada pilihan.
 
7. Pakai penghawa dingin semasa memandu kereta.
 
8. Segera jumpa doktor jika sakit.

Cara untuk mengesan ketulenan nombor pendaftaran dan hologram


1.  Bagaimana saya dapat mengesahkan ketulenan nombor pendaftaran?

Ini dapat dilakukan dengan:

  • melayari laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu www.bpfk.gov.my
  • tekan ikon 'Registered Product Search'
  • taip nama produk atau nombor pendaftaran, contoh: MAL20000000T
  • tekan 'Advanced Search'

Jika proses ini memberikan maklumat, ini bermakna produk berkenaan telah berdaftar. Jika tiada sebarang maklumat, kenyataan "Sorry, no result was found matching" akan tersiar.

 

2.  Bagaimana saya dapat mengesahkan ketulenan hologram?

Ciri-ciri label hologram adalah:

  • Berbentuk segiempat tepat, saiz 8mm x 16mm
  • Permukaan berikut bertulis 'PBKD' dan 'DCA', bergamber bunga raya dan mempunyai nombor serial 10 digit

Nombor serial dapat disahkan/dikenalpasti dengan pemegang pendaftaran produk berkenaan.


Monday 24 June 2013

Cara Penyimpanan Ubat - Umum



Kepentingan Penyimpanan Ubat Yang Betul

  1. Mengelakkan pencemaran dan kerosakan ubat disebabkan suhu persekitaran yang tidak sesuai dan gangguan serangga.
  2. Memastikan pembungkusan, kualiti serta potensi ubat tidak terjejas.
  3. Mengelakkan kehilangan ubat.
  4. Mengelakkan keracunan ubat terutama di kalangan kanak-kanak.

Cara Penyimpanan Ubat Yang Betul

1. Simpan ubat di tempat yang kering dan jauh dari panas/cahaya matahari.

2. Simpan ubat di dalam bekas yang asal.

3. Jangan tanggal label ubat asal.

4. Maklumat yang ada penting untuk mengetahui nama ubat, kekuatannya, cara pengambilan, kaedah simpanan, tarikh luput dan nombor “batch”.

5. Simpan semua ubat jauh dari kanak-kanak.

6. JANGAN simpan kapsul dan tablet di dalam kabinet bilik air.

7. JANGAN letakkan kapas di dalam bekas ubat yang telah dibuka.

8. JANGAN simpan ubat dalam peti sejuk kecuali diarahkan.

9. JANGAN guna ubat yang telah berubah warna, kepekatan atau bau walaupun belum luput.

10. JANGAN tinggalkan ubat anda di dalam kenderaan bagi jangkamasa yang lama.

      - Suhu kereta boleh mencecah 65oC.

      - Ubat boleh digradasi dengan cepat.

      - Ubat dalam canister inhaler boleh keluar.


Tablet & Kapsul

1. Simpan ubat di dalam bekas kaca dan kedap udara serta jauh dari cahaya terutama untuk melindungi tablet sublingual.

2. Bekas hendaklah ditutup secepat mungkin dan ketat selepas menggunakannya.

3. Pemilihan tablet - keluarkan beberapa tablet ke dalam penutup kemudian pilih satu dan tuangkan tablet yang lain ke dalam botol semula.

4. JANGAN letakkan tablet di atas tapak tangan kerana tablet ini boleh menyerap kelembapan dan hancur.

5. JANGAN simpan dalam peti sejuk atau kabinet ubat di bilik air kerana kelembapan menyebabkan tablet mudah hancur.

6. JANGAN makan ubat tablet atau kapsul yang terlekat sesama sendiri, keras atau lembut daripada keadaan normal.

7. PASTIKAN ubat yang hendak dilupuskan jauh dari kanak-kanak.


Tips Menyimpan Ubat Di Dalam Kabinet Ubat

1. Lokasi- di tempat yang tinggi, tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak, berkunci di tempat yang kering, dingin dan jauh dari cahaya matahari

2. Periksa semua ubat-ubat yang disimpan di dalam kabinet ubat sekurang-kurangnya dua kali setahun terutama tarikh luput dan keadaan ubat.


Lain-Lain Tips Penyimpanan Ubat

1. Jangan campur ubat untuk kegunaan luar dan ubat yang dimakan.

2. Jangan simpan ubat dalam bekas berisi peralatan lain.

3. Jangan dicampur pelbagai jenis ubat dalam satu bekas.

    - Boleh menyebabkan kesilapan mengambil ubat.

    - Boleh menyebabkan interaksi luaran ubat-ubatan.

    - Sekiranya berlaku panggil balik produk, senang dikesan.

4. Jangan campur jenis ubat yang sama tetapi diberi pada tarikh yang berlainan di dalam satu sampul atau bekas.

    - Sekiranya berlaku panggil balik produk, senang dikesan.

    - Mengelakkan termakan ubat yang sudah luput atau rosak.